Bila tinta berlabuh
minda mula berbicara
ceritera PHT terus berdendang
secangkir kopi jadi peneman

08 June 2016

PHT JUARAI KONVENSYEN KIK 2016 PERINGKAT USM KAMPUS KESIHATAN


Pada 25 Mei 2016 telah berlangsungnya Konvensyen KIK 2016 Peringkat USM Kampus Kesihatan. Pasukan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Excel 7 dinobatkan sebagai johan bagi kategori pengurusan pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).
Kumpulan Excel 7 yang diwakili oleh beberapa orang Pustakawan dan staf sokongan Perpustakaan Hamdan Tahir tidak menyangka akan memenangi Konvensyen KIK pada kali ini. Kumpulan Excel 7 yang mewakili Perpustakaan Hamdan Tahir peroleh tiga bintang menerusi produk Librex Point yang telah dicipta oleh mereka. Ini sekaligus menewaskan kumpulan Cekap dari Institut Perubatan Molekul (INFORMM) yang beroleh dua bintang bagi kategori Pengurusan.
Pengarah Kampus Kesihatan dan Penolong Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr Mafauzy Mohamed dalam ucapannya pula merakamkan penghargaan kepada semua jabatan yang telah menujukkan komitmen yang tinggi dalam menyiapkan projek masing-masing untuk dipertandingkan.
“Penganjuran Konvensyen KIK ini amat bertepatan dengan status USM sebagai gedung ilmu yang banyak mencambah dan mencetuskan hasil-hasil inovasi dan kreativiti kerana melalui ciptaan inovatif dan kreatif ini, sesebuah institusi akan sentiasa hidup serta berinterkasi secara aktif mengikut peredaran zaman.
“Pertandingan ini juga menunjukkan bahawa elemen-elemen pengurusan dan teknikal berkait rapat antara satu sama lain kerana tanpa pengurusan yang cekap dan rapi, secanggih manapun bidang teknikal yang kita miliki tidak mungkin dapat menjamin pelaksanaan projek yang cemerlang,” katanya.
Menurut Mafauzy, tema Konvensyen KIK pada kali ini ‘Inovasi Melalui Kerja Berpasukan’ amat bertepatan kerana melalui kerja berpasukan dapat meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja serta dapat menggalakkan percambahan fikiran ke arah penciptaan yang lebih kreatif.